Wednesday, August 25, 2010

Bersandar pada kehebatan orang lain

Bercerita tentang kehebatan orang lain tidak sama dengan cerita tentang kehebatan diri sendiri. Kita hanya melihat kehebatan yang ada pada orang lain tetapi lupa sebenarnya diri sendiri juga punyai kehebatan yang tersendiri. Adakah kita malu untuk mengakui kehebatan diri sendiri atau adakah kita sebenarnya takut untuk mengakuinya kerana bimbang akan dipersendakan?
Ada orang berusaha keras untuk menjadi hebat, malah tidak dapat dinafikan juga bahawa ada insan lain yang hanya ingin dipandang hebat. kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza. Golongan yang pertama adalah golongan yang sentiasa sedar akan kelemahan diri dan sentiasa cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan dalam masa yang sama sentiasa mengikhlaskan diri serta akur pada kehebatan ciptaan Allah. Berbeza dengan golongan kedua yang mengharapkan pujian dan penghargaan dari orang lain. Golongan ini akan terus hanyut dan tenggelam dibuai mimpi indah pujian orang lain yang belum tentu ikhlas. kehebatan yang dirasai, dipandang hebat oleh orang lain tetapi pada hakikatnya indah khabar dari rupa. Kebiasaannya orang yang ingin dipandang hebat hanya menyandarkan kehebatannya pada orang lain, bersembunyi disebalik bayang-bayang yang kabur dipenglihatan manusia...bijak menyusun kata-kata, hebat hanya dari segi perancangan /memberi arahan tetapi dari segi perlaksaannya? Mereka yang sentiasa merasa kagum dengan diri sendiri sedangkan kehebatan yang sebenar adalah pada orang lain.
Berbicara tentang kehebatan diri sendiri dan orang lain bukan membuka pekung di dada tetapi adalah sebagai peringatan pada diri kita sendiri. kekadang kita silap dalam membuat penilaian...dan siapa kita untuk untuk membuat penilaian?
Masalahnya ialah kita telah hilang nilai-nilai kehebatan diri sendiri kerana kita hanya suka menyandarkan kehebatan kita pada orang lain. Jangan kerana puji-pujian yang diberikan kepada kita, kita menjadi leka dan mudah tertipu dengan pujian dan pengiktirafan tersebut. jangan kita hilang jati diri hanya kerana dipandang hebat, sedangkan banyak sisa-sisa kelemahan yang tidak kita sedari atau enggan kita akuinya. Tanpa kita sedari lama -kelamaan kita mula menjadi orang yang mengejar populariti dan nama, bongkak dengan diri sendiri.
Kita sebenarnya memerlukan insan-insan yang hebat disekeliling kita. Andai mereka-mereka yang hebat ini hilang, secara tidak langsung kehebatan itu juga akan tenggelam bersama mereka. hakikatnya kita tidak mampu berdikari dan hidup di tengah-tengah gelombang yang hebat kerana kita sebenarnya kurang hebat. Kita hanya menumpang kehebatan orang lain. Dari kehebatan orang lain kita sebenarnya belajar dan berusaha untuk menjadi hebat seperti mereka.
Maka kita mesti mengubah mentaliti daripada ingin dipandang hebat kepada ingin menjadi hebat dalam ertikata yang sebenar. Sekalipun manusia tidak memberikan pujian dan pengiktirafan, kita tetap berusaha menjadi hebat dan hanya mengharapkan pengiktirafan Allah dan Rasul.
Zaman Rasullullah dahulu betapa hebatnya sahabat-sahabat baginda yang sentiasa berusaha untuk menjadi hebat...kehebatan mereka bukan sahaja di medan peperangan tetapi dalam pelbagai ilmu, emosi sehingga kehebatan mereka sentiasa meniti dibibir generasi hari ini.
Berusahalah untuk menjadi orang yang memang hebat, bukan hanya dipandang hebat. sesungguhnya ingatlah bahawa kita langsung tidak hebat tatkala kita membelakangkan Allah dan Rasul. Apabila kita terlalu bergantung pada manusia akan menjadikan kita lebih hina di sisi Allah. Bersandarlah pada yang kekal abadi iaitu Allah, bukan manusia yang hidup pasti mati....

No comments:

Post a Comment